Ya Allah...Sinarilah jalan hidupku dengan CahayaMu yang tak pernah padam....

Sunday, May 2, 2010

Pembuka kata..


Bismillahirrahmanirrahim…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang memiliki dan mentadbir setiap isi bumi dan yang memiliki dan berkuasa sepenuhnya atas diri ini..

Alhamdulillah, dengan petunjuk dan rahmat serta kekuatanNya dapat juga aku menulis walaupun terasa janggal kerana pertama kali menulis dan ditatap umum. Tapi kerana azam yang sekian lama untuk menulis diari secara terbuka atas nasihat Dr. Haniz pensyarah di UPSI yang bersungguh-sungguh menyuruh kami menulis, rasa malu dan takut ku tolak ketepi. Mudah-mudahan dengan cara ini dapat kukongsi pengalaman yang kulalui namun dengan asas dan ilmu yang masih cetek dalam bidang pendidikan khas masalah pembelajaran. Mudah-mudahan aku akan dapat inspirasi dan idea baru dari orang lain. Mudah-mudahan dengan cara ini juga ada yang akan menegur sekiranya apa yang kulakukan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran ada yang tidak betul.

Menjadi seorang guru pendidikan khas masalah pembelajaran memerlukan kreativiti dan kesungguhan. Setiap hari perlu ada semangat dan keghairahan untuk mengajar. Guru kena peka ddengan tindak balas murid-murid yang cepat bosan dan mudah hilang focus. Tambah lagi guru tak boleh hilang sabar kerana ia boleh melenyapkan rasa ingin belajar murid-murid.

Tetapi yang seronoknya menjadi guru pendidikan khas ialah didampingi murid-murid yang comel dan manja. Sebagai contoh murid-murid dari kategori sindrom down. Mereka begitu mencuit hati. Hilang tension bila tengok wajah mereka. Begitu juga dengan murid yang hyper. Walaupun kadang-kadang kesabaran hampir di peringkat terakhir, tetapi mendengar panggilan lembut mereka (walaupun hanya kerana minta ditemani untuk ke tandas) muka yang merah menahan marah boleh tersenyum.

Begitulah..macam-macam perasaan ketika menjalani praktikal. Praktikal yang bermula awal bulan tiga terasa impaknya sekarang. Pelbagai ‘ancaman’ dan ‘keindahan’ yang selama ini hanya didengar melalui cerita-cerita orang dirasai sendiri. Sungguhpun begitu banyak cerita, namun yang pastinya semakin hari semakin sayang. Mudah-mudahan Allah kekalkan perasaan ini keranaNya dan dengan rahmatNya…

Daripada menerima pelukan manja dan ciuman murid sehinggalah dikritik dan diludah murid. Daripada menerima senyuman dan pujian sehinggalah mendapat jelingan yang tajam. Semuanya bergilir-gilir menemaniku di sekolah. Namun apa yang pasti hari-hariku dipenuhi dengan rasa keseronokan yang tak dapat ku nilai atas sebab yang mana satu.

Bila diludah oleh murid dan menceritakan kepada rakan guru yang lain, pasti disambut dengan gelak tawa. Tak siapa pun yang akan marah melampau pada tindakan murid kerana siapa yang marah dia lebih ‘khas’ dari murid tersebut. Cukuplah menegur murid dan latih dia dengan peneguhan. Tapi adakala marah juga bila ada yang memaki. Tapi mereka sebenarnya tidak tahu atau mungkin ada sebab lain yang buat mereka begitu…Haa yang ni susah sangat sebab kadang-kala sebab musabab tindakan mereka begitu halus kecil dan sangat tersembunyi..dah baca profil murid pun tak tentu lagi boleh nak setle..

Hm…mulai hari ini aku akan cuba untuk mencatat perjalananku dan apa yang telah kulakukan saban hari. Sesiapa yang ingin berkongsi idea dan maklumat silalah dan ia amat dialu-alukan. Mudah-mudahan kejayaan dan kekuatan akan bersama dengan kita, dengan rahmat dan petunjukNya jua…

No comments:

Post a Comment